Tuesday, October 20, 2015


UNDANG-UNDANG TUBUH





No. 64, Jalan SP 6/7, Bandar Saujana Putra,
Lebuhraya Elite, 42610 Jenjarom,
Selangor Darul Ehsan
Tel : 019-345 6066, 016-267 8291
http : www.persatuanpenduduksp6.blogspot.my




UNDANG-UNDANG BAGI PERTUBUHAN

PERSATUAN PENDUDUK SP6
NO. 23, JALAN SP 6/7, BANDAR SAUJANA PUTRA,
LEBUHRAYA ELITE, 42610 JENJAROM,
SELANGOR DARUL EHSAN.
 


KANDUNGAN

FASAL 1           NAMA

FASAL 2           TEMPAT URUSAN

FASAL 3           BENDERA, LAMBANG, LOGO DAN LENCANA

FASAL 4           TUJUAN / MATLAMAT

FASAL 5           KEAHLIAN

FASAL 6           BAYARAN MASUK / YURAN DAN BAYARAN LAIN

FASAL 7           PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

FASAL 8           MESYUARAT AGUNG

FASAL 9           JAWATAN KUASA

FASAL 10         KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

FASAL 11         KEWANGAN

FASAL 22         PEMERIKSA KIRA-KIRA

FASAL 13         PENGAMANAH

FASAL 14         TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

FASAL 15         PENASIHAT / PENAUNG

FASAL 16         LARANGAN

FASAL 17         PINDAAN UNDANG-UNDANG

FASAL 18         PEMBUBARAN



UNDANG-UNDANG BAGI
PERSATUAN PENDUDUK SP6
NO. 23, JALAN SP 6/7, BANDAR SAUJANA PUTRA,
LEBUHRAYA ELITE, 42610 JENJAROM,
SELANGOR DARUL EHSAN.
 


PERLEMBAGAAN


PERSATUAN PENDUDUK SP6


FASAL 1        NAMA

                               Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PENDUDUK SP6

                               Selepas ini disebut “Pertubuhan”.


FASAL 2        ALAMAT

(1)            Alamat dan tempat urusan pertubuhan ialah NO. 64, JALAN SP6/7, BANDAR SAUJANA PUTRA,
               42610 JENJAROM, SELANGOR DARUL EHSAN

                               atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat adalah NO. 64, JALAN SP6/7,BANDAR SAUJANA PUTRA, 42610 JENJAROM, SELANGOR DARUL EHSAN

                     (2)      Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.


FASAL 3        MATLAMAT

(1)              Matlamat pertubuhan ini ialah untuk mewakili semua penduduk yang berada di dalam taman SP 6 untuk hal-hal seperti berikut :
i.      Memupuk silaturrahim dan semangat kejiranan
ii.    Mengenal pasti sebarang isu atau masalah yang timbul dan mengemukakan permohonan kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk penyelesaian
iii.   Menganjurkan aktiviti riadah dan kemasyarakatan
iv.  Mencegah dan membanteras masalah sosial dan aktiviti tidak bermoral di kawasan taman SP 6
v.    Memupuk semangat kerohanian dan membentuk nilai murni.
vi.  Menguruskan kemudahan tertentu untuk kepentingan penduduk.
vii. Memupuk kerjasama dengan SRS dan KRT di dalam taman SP 6.


FASAL 4        KEAHLIAN

(1)              Keahlian adalah terbuka kepada semua penduduk di taman SP 6. Setiap rumah hanya dibenarkan mendaftar seorang (1) ahli sahaja.

(2)              Keahlian adalah otomatik tanpa perlu permohonan @ cadangan/sokongan/kelulusan daripada ahli/ AJK dan hak mengundi hanya boleh dilakukan apabila ahli/wakil ahli membayar yuran keahlian & yuran tahunan serta tiada hutang tertunggak. Keahlian 1 rumah ada 2 hak mengundi berlainan jantina.

(3)              Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.


FASAL 5        SUMBER KEWANGAN
                    
                     Sumber kewangan pertubuhan ini adalah daripada:

(1)            Bayaran masuk:                  RM 15.00 (Ringgit Malaysia Lima Belas)

(2)            Yuran:

a)       Yuran tahunan  RM 12.00 (Ringgit Malaysia Dua Belas sahaja)

b)       Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari awal tiap-tiap tahun

c)       Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada tiga (3) bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli dan hak mengundi dilucutkan serta merta sehingga hutangnya telah dijelaskan dan tiada sebarang tunggakan.

d)       Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli.  Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

                     (3)      Sumbangan
                               Pertubuhan ini dibenarkan untuk menerima sumbangan dalam apa-apa bentuk dan sumbangan yang diterima hendaklah diisytiharkan di dalam Penyata Tahunan Pertubuhan.

                     (4)      Kutipan Derma
                               Pertubuhan boleh membuat kutipan derma dari orang ramai dengan syarat pengesahan daripada Pendaftar Pertubuhan dan kebenaran daripada pihak berkuasa berkenaan diperolehi terlebih dahulu.

(5)            Perniagaan
Pertubuhan ini boleh menjalankan kegiatan ekonomi seperti menjual, membeli, melabur, menyewa, memiliki harta alih dan tak alih dan lain-lain kegiatan ekonomi. Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Pertubuhan ini akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan Pertubuhan dan tiada sebahagian pun daripada wang atau keuntungan tersebut boleh digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada mana-mana ahlinya. Sungguhpun begitu peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang di buat dengan tujuan baik seperti untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja Pertubuhan ini.




FASAL 6        PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1)            Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua (2)  minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

(2)            Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan keahliannya tidak akan dilucutkan, akan tetapi beliau akan hilang kelayakan dan hak-hak sebagai ahli secara otomatik. Jawatankuasa hendaklah memberitahu akan sebab-sebab bagi kehilangan hak sebagai ahli secara bertulis. Ahli yang berpindah keluar dari SP6 secara otomatik akan terhenti dari menjadi ahli pada tahun kalender berikutnya..


FASAL 7        MESYUARAT AGUNG

(1)            Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli.  Sekurang-kurangnya satu perdua ½ daripada jumlah ahli yang membayar yuran atau 40 orang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

(2)            Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh tidak lebih daripada tiga puluh  (30) hari yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan.

(3)            Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:

(a)            menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan pertubuhan di dalam tahun lalu;

(b)            menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

(c)            memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan melantik pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang; dan

(d)            menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4)            Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit.  Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

(5)            Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan:

(a)            bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa; atau

(b)            atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima 1/5 dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya.  Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.

(6)            Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7)            Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(8)            Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam  (6) bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9)            Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan minit tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.


FASAL 8        JAWATANKUASA

(1)            Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

Seorang (1) Pengerusi
Seorang (1) Naib Pengerusi
Seorang (1) Setiausaha
Seorang (1) Penolong Setiausaha
Seorang (1) Bendahari
Sebelas (11) orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

(2)            Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

(3)            Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dipilih semula tiap-tiap tahun.

(4)            Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung.  Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung.  Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan

                     (5)      Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga (3) bulan.  Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli jawatankuasa tujuh (7) hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa.  Sekurang-kurangnya setengah (½) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6)     Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling.  Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:
(a)            Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

(b)            Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c)            Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.  Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

                     (7)      Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

                     (8)      Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu.  Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

                     (9)      Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak.  Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

(10)        Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

(11)        Jawatankuasa sebelumnya hendaklah menyerahkan semua dokumen yang berkaitan dengan Pertubuhan kepada Jawatankuasa yang baru dipilih, namun masih dipertanggungjawabkan jika ada kesilapan, kerosakan, dan kehilangan semua rekod atau dokumen tersebut.






FASAL 9        KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1)            Pengerusi, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat.  Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.

(2)            Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

(3)            Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa.  Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua rekod dan dokumen pertubuhan, kecuali buku-buku akaun dan dokumen kewangan.  Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi maklumat terperinci ahli mengikut kategori seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah kediaman tiap-tiap ahli.  Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat.  Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1966.

(4)            Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(5)            Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan.  Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

(6)            Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah menghadiri semua mesyuarat Pertubuhan dan membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.


FASAL 10      KEWANGAN

(1)            Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira.  Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2)            Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 2000.00 (Ringgit Malaysia Dua Ribu) tunai pada sesuatu masa.  Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dalam tempoh tujuh (7) hari dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa.  Akaun bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

(3)            Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari atau 2 dari 3 tandatangan yang dibenarkan. Semasa ketiadaan Pengerusi, AJK tidak boleh melantik AJK yang lain sebagai pengganti kepada orang yang berkuasa untuk menanda tangani cek melainkan mendapat kelulusan Mesyuarat Agung Khas/Mesyuarat Agung Tahunan. Setiap perbelanjaan perlu diluluskan didalam Mesyuarat AJK sahaja.

(4)            Perbelanjaan RM200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus) dan ke bawah bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari.
Perbelanjaan yang lebih daripada RM200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa.
Perbelanjaan yang lebih daripada RM1000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.
 
(5)            Penyata kewangan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan.  Penyata kewangan dan kunci kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.

(6)            Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.


FASAL 11      JURUAUDIT

(1)            Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit.  Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

(2)            Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa penyata kewangan dan kunci kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan.  Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit penyata kewangan dan kunci kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

(3)            Tempoh memegang jawatan bagi Juruaudit adalah sama seperti AJK.


FASAL 12      PENTADBIR HARTA

                   (1)        Harta yang tidak boleh dialih bagi Pertubuhan hendaklah didaftar atas nama Pertubuhan dan segala surat cara yang berkaitan dengan harta itu adalah sah dan berkuatkuasa seolah-olah suratcara itu telah disempurnakan oleh seorang tuan punya berdaftar dengan syarat bahawa suratcara itu disempurnakan oleh tiga orang pemegang jawatan Pertubuhan ini yang terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari yang ada pada masa itu dan pelantikan mereka adalah disahkan oleh satu perakuan daripada Pendaftar Pertubuhan dan dimeterikan dengan meteri Pertubuhan.
                    
                     (2)      Segala hak milik Pertubuhan tidak boleh dijual, ditarik balik atau dipindah hak milik dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.
                    
                     (3)      Harta adalah termasuk Harta Tidak Boleh Alih dan Harta Mudah Alih.




FASAL 13      TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1)            Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak jelas di dalam undang-undang ini.

(2)            Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.


FASAL 14      PENASIHAT/PENAUNG                                    
                              
                               Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis


FASAL 15      LARANGAN

(1)            Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Akta Rumah Judi Terbuka, 1953 adalah dilarang dimainkan di premis pertubuhan.

(2)            Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

(3)            “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.


FASAL 16      PINDAAN UNDANG-UNDANG

(1)            Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung.  Permohonan untuk pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

(2)            Pindaan Undang-undang hanya boleh dibuat apabila mendapat ½ daripada ahli yang membayar yuran.


FASAL 17      PEMBUBARAN 

(1)            Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

(2)            Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.
(3)            Permohonan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan pembubaran itu.


FASAL 18      BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA


                              

            

                                                              








         
(1)              Logo di atas adalah lambang untuk Pertubuhan Penduduk SP6 (PPSP6). Lambang ini membawa maksud seperti berikut :
i.         Tulisan Warna Biru Sekeliling Bulatan – Melambangkan Perpaduan.
ii.       Lingkaran Merah – Melambangkan Keberanian.
iii.      Latar Belakang Hijau – Melambangkan Keharmonian.
iv.     Tulisan Merah Besar – Menandakan Seluruh Penduduk SP6 Berani Tampil Kehadapan Untuk Kebaikan Bersama.
                              





                     ..............................................                                                     ....................................................
                     Pengerusi                                                                                    Setiausaha


                     Mohammad Shahril bin Idris                                                          (Abdul Karim bin Mohamed Ali)